Jumaat, 27 Ogos 2010

Pengenalan

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dihasil bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4,Tun Dr Mahathir Bin Mohamad pada 19 Julai 2002. PPSMI telah dilaksanakan secara berperingkat dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat sekolah menengah. Pelaksanaan PPSMI adalah untuk membangunkan sumber tenaga manusia bagi mencapai taraf negara maju yang dapat bersaing dalam era globalisasi.

Objektif PPSMI

• Objektif pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan supaya dapat bersaing dalam era globalisasi. Penguasaan bahasa Inggeris adalah amat penting dalam menghadapi cabaran globalisasi dan ledakan maklumat masa kini. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa ilmu dan komunikasi yang amat penting bagi memudahkan kita berdaya saing di peringkat antarabangsa.
• Matematik dan sains adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat memudahkan perolehan ilmu kerana kebanyakan asas istilah-istilah sains dan matematik adalah berasal dari Bahasa Inggeris. Di samping itu, pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Sejarah pelaksanaan PPSMI

  • Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.
  • Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah untuk melaksanakan PPSMI dengan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dalam dwibahasa dari tahun 2003 hingga 2007.
  • Apabila keputusan dasar kerajaan ini diumumkan, terdapat pelbagai reaksi termasuk daripada pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa. Terdapat golongan yang menyokong dan ada juga yang kurang senang dengan keputusan kerajaan.
  • Salah faham timbul tentang matlamat kerajaan melaksanakan dasar ini, serta rasional kerajaan memilih mata pelajaran sains dan matematik yang lebih mudah difahami jika diajar dalam bahasa ibunda. Terdapat juga kebimbangan di kalangan hampir setiap lapisan masyarakat tentang kesediaan guru dan pelajar mengikuti perubahan ini.
  • Akhirnya, dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah melakukan kajian mendalam.

Langkah-langkah dalam PPSMI

1) Mengadakan kelas tambahan (secara percuma)
  • Pihak sekolah boleh mengadakan kelas tambahan untuk subjek Matamatik dan Sains yang diajar dalam Bahasa Inggeris secara percuma.
  • kelas tambahan ini boleh meningkatkan kefahaman dan ilmu pelajar dalam Sains dan Matamatik dan juga boleh memantapkan lagi Bahasa Inggeris mereka.

2) Latihan guru

  • Latihan guru haruslah dilaksanakan secara berterusan melalui usaha-usaha yang lebih teratur dan bersistematik untuk meningkatkan kualiti guru.
  • Bagi meningkatkan kemahiran guru dalam Bahasa Inggeris, penggunaan pelbagai strategi dan pendekatan yang sesuai dan terbaik serta penggunaan kemudahan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) haruslah dipergiatkan.
3) Bahan Pembelajaran
  • Membekalkan kepada setiap sekolah dengan bahan pembelajaran untuk digunakan sebagai bahan bantu pembelajaran dan rujukan guru serta untuk ulangkaji pelajar.
  • Bahan-bahan tersebut adalah perisian interaktif, rancangan TV Pendidikan dan buku bacaan tambahan
4) Perisian pengajaran
  • Perisian pengajaran ini adalah perisian multimedia dalam bentuk cakera padat (CD) yang boleh digunakan oleh guru untuk menyampaikan pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan sepenuhnya serta dengan berkesan dalam bilik darjah
  • Perisian pengajaran ini juga mengandungi pelajaran yang lengkap untuk mata pelajaran yang berkenaan serta mengikut sukatan pelajaran sepenuhnya

Reaksi-reaksi terhadap PPSMI

Dasar PPSMI telah menimbulkan berbagai-bagai reaksi daripada masyarakat termasuklah;
1. ahli politik
2. akademik
3. ibu bapa
Ada yang menyokong dan terdapat pula yang menentang.
• Kebanyakan ibu bapa berpendapat langkah kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik wajar diteruskan. Mereka berpendapat bahawa ini boleh membantu anak-anak mereka untuk mendalami bahasa Inggeris dengan lebih mudah dan boleh bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa depan yang cenderung kepada era globalisasi.
• Di kalangan guru, mereka berpendapat bahawa dasar ini akan membebankan pelajar dan guru dan seterusnya akan merosotkan keputusan pelajar dalam Sains dan Matematik terutamanya pelajar dari luar bandar.
• Golongan ahli politik juga telah memberi reaksi menentang yang kuat tehadap dasar ini. Antara yang paling jelas ialah tindakan daripada Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Pada pendapat mereka, pelaksanaan PPSMI akan menghilangkan identity bangsa, kepatriotan dan kebudayaan negara kita. Mereka berkata Bahasa Melayu adalah bahasa utama di Malaysia dan masyarakat seharusnya diangkat sebagai bahasa ilmu dan menjadi salah satu Bahasa Antarabangsa melalui peluasan penggunaannya.

Kesan positif PPSMI

  • PPSMI diperkenalkan bagi menyenangkan pemahaman dan mengelakkan salah faham dalam kebanyakan istilah sains dan matematik yang telah dimelayukan.
  • Membangunkan generasi pelajar yang mampu menguasai bidang sains dan teknologi di tahap tinggi, seterusnya berupaya pula menjana ilmu dan teknologi baru dalam bidang-bidang tersebut pada masa yang datang, dan sekaligus menyumbang kepada himpunan harta intelektual negara dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan ini.
  • Pendedahan yang awal kepada sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris akan membolehkan pelajar mengakses maklumat dan menerokai maklumat dengan mudah.

Kesan negatif PPSMI

  • Bahasa pertuturan setempat iaitu bahasa ibunda adalah lebih sesuai untuk menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik kerana Bahasa Melayu lebih mudah difahami.
  • Dasar lebih memihak kepada murid di bandar yang mempunyai lebih banyak kemudahan untuk belajar.
  • Mewujudkan perbezaan prestasi antara murid yang sosio-ekonomi ibu bapa mereka yang berpendapatan rendah sama ada di luar bandar dan di bandar. Hal ini kerana pelajar yang kurang mampu tidak berpeluang untuk belajar dengan lebih baik kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk menghantar mereka ke kelas tambahan.
  • Pencapaian negatif pelajar terutama di kawasan luar bandar, pendalaman dan FELDA kerana kemudahan pembelajaran yang terhad.
  • Pelajar tidak dapat memahami dan mengikuti pembelajaran serta penguasaan istilah atau konsep yang diajar oleh guru-guru dengan baik disebabkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka yang lemah.

Pemansuhan PPSMI

Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara rasminya telah diumumkan pemansuhannya berkuatkuasa pada 2012. Pemansuhan tersebut diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Menteri Malaysia juga Menteri Pelajaran Malaysia di Putrajaya pada 8 Julai 2009. Hal ini disebabkan oleh desakan pihak tertentu seperti NGO meminta supaya PPSMI dimansuhkan. Bantahan tersebut turut dilakukan melalui laman-laman sosial seperti ‘facebook’. Mereka beranggapan bahawa PPSMI sepatutnya sudah lama dimansuhkan.

Pemansuhan ini dikatakan dapat menjimatkan RM40juta setahun yang diperolehi daripada kos perbelanjaan elaun, bayaran tuisyen Bahasa Inggeris guru-guru dan sebagainya. Selepas pemansuhan ini, kerajaan telah merangka satu rancangan iaitu dengan menambah waktu pembelajaran Bahasa Inggeris seratus peratus di semua peringkat sekolah. Manakala pembelajaran Bahasa Melayu akan dimartabatkan.

Namun begitu terdapat segelintir pihak yang tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Hal ini dapat dibuktikan apabila ada pihak telah menubuhkan satu laman melaui ‘facebook’ bertujuan mengumpul masyarakat yang menyokong dasar ini. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Pada tahun 2002 – Pada bulan julai Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan mesyuarat khas jemaah menteri untk menjalankan dasar (PPSMI).

Pada tahun 2003-2006 – Dasar ini diperkenalkan pada sekolah rendah dan sekolah menengah

Pada tahun 2007 – Pada bulan januari, pelaksanaan (PPSMI) secara keseluruhannya dijalankan untuk peringkat sekolah menengah.

Pada tahun 2008 – Pada bulan januari, pelaksanaan (PPSMI) secara keseluruhannya dijalankan untuk peringkat sekolah rendah.

Pada tahun 2009 – Pada bulan mac, demonstrasi berlaku yang bertujuan untuk membantah pelaksanaan (PPSMI). Gerakan ini diketuai oleh Datuk A. Samad Said dan Datuk Dr. Hassan. Pada bulan mei, kebanyakan sasterawan negara tidak setuju dengan dasar ini. Dasar ini juga tidak dipersetujui oleh tokoh-tokoh politik di negara kita.

Pada bulan julai 2009 - Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran telah mengumumkan untuk memansuhkan dasar PPSMI secara keseluruhannya pada tahun 2012


Khamis, 26 Ogos 2010

Kesimpulan

Kesimpulannya, pelaksanaan PPSMI telah membawa kebaikan dan keburukan kepada masyarakat. Pelajar boleh belajar Bahasa Inggeris melalui PPSMI dari peringkat awal persekolahan supaya dapat bersaing dalam era globalisasi ini. Namun, terdapat sesetengah masyarakat yang membantah pelaksanaan PPSMI kerana menganggap ia membawa kesan yang negatif di peringkat sekolah rendah seperti keciciran dalam mata pelajaran terbabit yang disebabkan oleh kelemahan dalam menguasai bahasa Inggeris. Akhirnya, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dasar PPSMI diberhentikan mulai tahun 2012 setelah kajian mendalam dilakukan. Sehubungan dengan itu, beliau memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai ganti PPSMI yang memberi tumpuan kepada peningkatan pembelajaran mata pelajaran bahasa-bahasa.